Mohd Amin Mustakim tidak takut menerima suntikan dos kedua tanpa ditemani ibu bapa. FOTO RAMLI IBRAHIM
Mohd Amin Mustakim tidak takut menerima suntikan dos kedua tanpa ditemani ibu bapa. FOTO RAMLI IBRAHIM
Oleh Ramli Ibrahim


Gua Musang: "Saya dah tak takut, datang sendiri cucuk vaksin Covid-19 tanpa ditemani ibu bapa," kata Mohd Amin Mustakim Mat Nawi.

Mohd Amin Mustakim, 24, yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam dan tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Persiaranraya di bandar ini, menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 hari ini.

Katanya, dia hanya ditemani ibu bapa ketika menerima suntikan dos pertama.

"Saya juga masuk sendiri ke bilik suntikan. Bapa ada sama tetapi dia hanya menunggu di luar dewan. Saya tidak takut untuk disuntik sebaliknya lebih takut dengan jangkitan Covid-19," katanya ditemui di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) di Taman Wangsa Memangi di sini.

Mohd Amin Mustakim antara 41 OKU pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Cahayaku Taman Wangi, Gua Musang yang lengkap dos kedua.

Sementara itu, bapanya, Mat Nawi Mohd Noor, 61, selepas menerima suntikan dos pertama, anaknya itu kerap bertanya bila dia akan meneria suntikan seterusnya.

"Mohd Amin Mustakim tidak sabar untuk menerima dos kedua dan meminta saya supaya tidak ikut bersama masuk ke bilik suntikan.

"Mohd Amin Mustakim tahu Covid-19 bahaya dan dia minta disuntik segera bagi mengelak jangkitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 12:10 PM