GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Harga runcit telur ayam bagi setiap gred, ayam proses super serta ayam tua di seluruh negara mencatatkan paras tertinggi pada bulan ini.

Menurut data dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (PVS) tadi, harga ayam dan telur ayam dikemaskini pada tarikh 21 hari bulan setiap bulan.

Difahamkan sehingga Ogos ini, harga runcit ayam dan telur ayam mencatatkan paras tertinggi berbanding bulan sebelumnya.

Menerusi data berkenaan, harga bagi sebiji telur ayam gred A berharga 44 sen, Gred B (41 sen) serta Gred C ( 39 sen).

Berbanding sebelum ini, harga runcit telur ayam pelbagai gred hanyalah sekitar 29 sen sehingga 40 sen untuk sebiji.

Harga paling rendah bagi telur ayam Gred A dilaporkan pada Mei lalu iaitu pada paras 36 sen sebiji, diikuti telur Gred B pada paras terendah iaitu 33 sen antara Mac hingga Mei lalu diikuti telur ayam Gred C pada harga 29 sen April lalu.

Sementara itu bagi harga runcit ayam, harga tertinggi dilaporkan membabitkan penjualan ayam kampung, ayam proses standard, ayam proses super dan ayam tua.

Bagi ayam kampung, harga yang ditetapkan pada bulan ini adalah RM14.90 bagi setiap sekilogram iaitu peningkatan 90 sen berbanding bulan sebelumnya.

Manakala harga terendah bagi ayam kampung pula adalah pada Jun hingga Februari lalu iaitu pada harga RM13.80 sen sekilogram.

Ayam proses super turut meningkat iaitu pada harga RM9.60 sen sekilogram pada bulan ini, pertambahan 15 sen berbanding bulan sebelumnya.

Harga terendah yang pernah dicatatkan bagi ayam jenis ini adalah RM8.65 sen sekilogram pada Mei lalu.

Harga ayam tua turut meningkat iaitu harga runcit bagi setiap kilogram adalah RM8.60 sen iaitu tambahan 20 sen berbanding bulan sebelumnya.

Dalam pada itu, peningkatan ketara turut dilihat pada harga daging lembu jenis cincang dijual pada harga RM24.10 sen bagi setiap sekilogram berbanding RM21 pada bulan sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 4:02 PM