Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Perak  Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima menghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama terdiri daripada UMNO, DAP, PKR, Bersatu, PAS, Amanah, Warisan dan Pejuang, kelmarin. FOTO BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima menghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama terdiri daripada UMNO, DAP, PKR, Bersatu, PAS, Amanah, Warisan dan Pejuang, kelmarin. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Langkah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya Ahli Parlimen menyerahkan surat akuan bersumpah (SD) dan menghadap baginda untuk pengesahan adalah lambang amalan demokrasi.

Ini kerana, dalam menentukan sokongan diterima seseorang calon Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda perlu memastikan agar ia adalah keputusan rasmi dan bukannya dari sumber lain.

Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohd Noor berkata, dalam menjalankan peranan Yang di-Pertuan Agong mengikut perlembagaan, Al-Sultan Abdullah sudah melaksanakan peranan dalam menentukan kesahihan sokongan berkenaan.

Katanya, selain itu keputusan secara sepakat yang akan diperolehi dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja juga membuktikan penentuan calon Perdana Menteri juga melalui proses yang ketat selari dengan peruntukan di dalam perlembagaan.

"Pelantikan kali ini juga membawa kepada penubuhan kerajaan yang lebih stabil dan kukuh.

"Baginda juga sudah menitahkan agar semua parti politik bekerjasama, tidak bertelagah dan mengutamakan rakyat," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Politik Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, apa yang dilaksanakan Istana Negara semalam dengan memanggil hanya mereka yang menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dikatakan memiliki majoriti, maka kemungkinan besar beliau adalah Perdana Menteri seterusnya.

Namun beliau berkata, ia tidak boleh dinyatakan sebagai satu keputusan akhir kerana kenyataan Istana Negara masih belum dikeluarkan setakat ini.

"Walaupun begitu, sudah pastilah apa sahaja yang dibuat ini adalah untuk memenuhi keabsahan pemilihan seorang Perdana Menteri, supaya tidak berulang apa yang berlaku pada tahun 2020.

"Daripada segi ketelitian Seri Paduka Baginda untuk memilih Perdana Menteri, saya rasakan Baginda amat berhati-hati menggunakan kearifan Baginda.

"Ini adalah supaya pemilihan dilakukan mengelak berulang lagi negara melihat hilangnya kepercayaan kepada seorang Perdana Menteri selepas beberapa bulan," katanya.

Katanya, tiga kerajaan sudah berubah dalam tempoh singkat daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) dan sekarang yang tidak tahu lagi panggilannya yang mungkin dinamakan Barisan Perikatan Nasional.

Sivamurugan berkata, walaupun ia adalah amalan pendemokrasian tetapi ia membabitkan soal kewibawaan.

"Saya percaya Seri Paduka Baginda mahukan pelantikan Perdana Menteri kali ini memberikan tumpuan hanya ke atas soal pemulihan ekonomi dan kesihatan termasuk menangani pandemik Covid-19.

"Ini juga untuk memberikan satu titik noktah kepada krisis politik yang sedang berlaku, jika boleh," katanya..

Mengenai ujian keabsahan Perdana Menteri menerusi undi di Dewan Rakyat selepas SD dilakukan katanya, ia perlu dilaksanakan untuk mengelak SD 'dua kolam' yang banyak diperkatakan sebelum ini.

Katanya, ujian menerusi undi percaya Ahli Dewan Rakyat di Dewan Rakyat adalah bertujuan mengesahkan lagi kesahihan SD berkenaan dari wakil rakyat itu dan bukannya dipaksa atau disogok dan sebagainya.

"Kali ini kita nampak prosesnya berubah sedikit, malah ia juga akan diuji di Dewan Rakyat.

Itu perlu untuk menunjukkan soal legitimasi yang tidak akan dapat dipertikaikan andai kata seseorang Perdana Menteri itu kekal di Parlimen nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 2:06 PM