Muhammad Saufi Hassan


TAN Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan kerana mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan dilantik segera bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terjamin.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, majlis perlantikan Ahli Parlimen Pagoh berkenaan akan diadakan esok.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa proses pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengah kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat serta negara yang dicintai bersama.

“Ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri pada jam 10.30 pagi di Istana Negara.

Baginda bertitah bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk semua dan Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik ini berakhir serta menzahirkan penghargaan kepada rakyat dan semua pihak yang terbabit khususnya agensi keselamatan.

Terdahulu, Istana Negara hari ini menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua parti politik yang mempunyai wakil di dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

Proses ini adalah lanjutan daripada titah Seri Paduka Baginda menitahkan ketua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat untuk mengemukakan pencalonan bakal Perdana Menteri.

Kemelut politik negara bermula sejak seminggu lalu apabila BERSATU mengumumkan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH) disusuli dengan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, BH Online melaporkan sdi kediaman Muhyiddin bertukar ceria sebaik masing-masing mendapat maklumat Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri.

Penyokong dan Ahli Parlimen Bersatu dilihat saling berpelukan dan bersalaman sambil mengucapkan tahniah sesama mereka.

Turut kedengaran jeritan kegembiraan, sebelum disusuli laungan takbir serta linangan air mata beberapa individu.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang tiba di kediaman itu ketika maklumat kemenangan Perikatan Nasional mula diperoleh, hanya tersenyum, namun enggan memberi sebarang komen.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 5:06 PM