PELABURAN, walau dalam jumlah kecil, tetapi jika dilakukan secara konsisten setiap bulan ia mampu berganda selepas satu tempoh tertentu sekiranya modal dan dividen tidak dikeluarkan.
PELABURAN, walau dalam jumlah kecil, tetapi jika dilakukan secara konsisten setiap bulan ia mampu berganda selepas satu tempoh tertentu sekiranya modal dan dividen tidak dikeluarkan.

Kuala Lumpur: Ramai antara kita yang melabur, tetapi tidak pernah ambil tahu atau cuba memahami apa itu kuasa faedah kompaun, akibatnya modal pelaburan tidak berkembang walaupun sudah lama wang dilaburkan setiap bulan.

Apakah keistimewaan kuasa faedah kompaun ini sehingga saintis terkenal, Albert Einstein menggelarnya sebagai keajaiban dunia yang ke-8?

Malahan, beliau menyatakan bahawa sesiapa yang memahami kuasa faedah kompaun akan menerima manfaat sangat besar, tetapi bagi yang tidak mengendahkannya, mereka akan menanggung kerugian.

Konsep kuasa kompaun secara ringkasnya ialah apabila dividen yang diterima daripada pelaburan, tidak dikeluarkan dan menjadi sebahagian daripada modal.

Tahun demi tahun, apabila dividen tidak dikeluarkan, modal pelaburan akan terus bertambah dengan sendirinya.

Sebagai contoh, anda melabur sebanyak RM5,000 selama lima tahun dan sepanjang tempoh itu, anda menerima purata dividen tahunan sebanyak empat peratus.

Berapa agaknya jumlah terkumpul pelaburan selepas lima tahun?

Jumlahnya boleh bertambah kepada kira-kira RM6,104 dengan syarat modal pelaburan dan dividen tidak dikeluarkan sepanjang tempoh pelaburan berkenaan.

Tahukah anda dari mana datangnya tambahan RM1,104 itu?

Jumlah itu sebenarnya dividen terkumpul yang tidak dikeluarkan sepanjang tempoh pelaburan berkenaan.

Bagaimana pula jika anda mula melabur dengan hanya RM100 setiap bulan?

Berapa agaknya jumlah terkumpul selepas lima tahun jika dividen purata ialah empat peratus setahun?

Jumlah terkumpul ialah kira-kira RM6,629 yang mana RM629 ialah dividen terkumpul.

Syaratnya tetap sama, elakkan mengeluarkan modal pelaburan dan dividen dan melaburlah untuk jangka panjang supaya modal pelaburan boleh berkembang dengan pantas.

Lebih lama tempoh pelaburan lebih besarlah jumlah yang boleh dikumpul.

Tanpa disiplin dan komitmen untuk melabur, kita tidak mungkin mampu untuk menyimpan walau RM1,000 ringgit sekalipun, apatah lagi membina tabung kecemasan untuk tempoh enam bulan seperti yang disarankan ramai pakar kewangan.

Sebenarnya untuk melabur dan membina tabungan tidaklah sesukar yang dibayangkan, lebih-lebih lagi dengan adanya pilihan pelaburan seperti unit amanah harga tetap ASB dan deposit tetap yang mana pelabur tidak akan kehilangan modal pelaburan.

Tetapkan saja pelaburan setiap bulan berdasarkan kemampuan, walau jumlah itu serendah RM10 sekalipun untuk mendidik diri melabur jika berasa sukar untuk memulakannya.

Kita selalu terlupa untuk melabur, tetapi tidak pernah segan untuk menambah hutang sedangkan kadangkala hutang itu tidak perlu ada pun kerana kita membeli barangan mewah yang tidak diperlukan.

Sudahnya, kita tidak mempunyai tabungan sebagai sandaran saat memerlukan dan lebih malang lagi, terpaksa pula meminjam dan menambah hutang kerana tiada tabungan sebagai sandaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 7:01 AM