GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nuraliawati Sabri


Jasin: Takut dicekup polis, seorang remaja cuba meloloskan diri dengan menunggang motosikal secara merbahaya untuk pulang ke rumah sebelum ditahan di Taman Pulai Indah, di sini, petang semalam.

Remaja berusia 18 tahun itu ditahan jam 6. 45 petang di rumahnya selepas dipercayai melarikan diri dari Op Motosikal dilakukan pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di kawasan Perindustrian Kilang Berapi, Merlimau.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, menyedari kehadiran polis yang membuatkan penutupan jalan, remaja terbabit yang menunggang Yamaha Y15ZR bertindak melarikan diri.

"Ketika melarikan diri, remaja terbabit bukan saja menunggang dalam keadaan melulu dan merbahaya malah membuat aksi zig-zag melalui Jalan Melaka-Muar.

"Pasukan polis mengekorinya kira-kira 6.5 kilometer dan remaja lelaki itu kemudiannya menghala balik ke rumah sebelum berjaya ditahan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, dalam operasi itu, polis turut menahan remaja berusia 15 tahun selepas didapati melakukan aksi merbahaya dan melulu serta mengangkat tayar hadapan motosikal ditunggangnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu," katanya.

Mispani berkata, dalam operasi itu sejumlah 32 motosikal diperiksa dan hasilnya sebanyak 48 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

"Kesalahan ubah suai motosikal, nombor pendaftaran serta tidak memakai topi keledar antara yang direkodkan paling tinggi.

"Malah sebanyak lapan kompaun di bawah Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021 turut dikeluarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 1:11 PM