KETUA Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat. FOTO arkib NSTP
KETUA Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat. FOTO arkib NSTP
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Satu laporan polis dibuat terhadap seorang pengamal perubatan yang disyaki mencabul remaja perempuan ketika sedang melakukan rawatan.

Laporan dibuat keluarga mangsa berusia 15 tahun di Balai Polis Kubang Kerian tengah hari semalam terhadap suspek yang pernah terpalit dengan dakwaan menjalankan rawatan sihir yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pada 11 pagi, 2 Ogos lalu, mangsa menjalani rawatan tradisional oleh suspek yang dipanggil 'ustaz' di rumahnya di Pasir Tumboh.

"Semasa rawatan dijalankan di dalam bilik, suspek dikatakan bertindak memegang dan meraba seluruh badan mangsa.

"Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebelum laporan polis dibuat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Shafien berkata, mangsa dikatakan selalu mengalami masalah histeria dan dipercayai disebabkan gangguan makhluk halus.

Sehubungan itu, keluarga mangsa menghubungi lelaki berusia 39 tahun dan berasal dari Perlis itu untuk menjalankan rawatan ke atas mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(1) (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Terdahulu lelaki berkenaan pernah membuat laporan polis mendakwa dipukul sekumpulan lelaki atas tuduhan menjalankan rawatan yang salah.

Pengamal perubatan itu mengalami kesan lebam di mata kiri serta calar di muka dan mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.

Difahamkan masih ditahan di wad atas masalah kesihatan dan akan dipanggil untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 6:05 PM