GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Hidayah Tanzizi


Bagan Datuk: Sami yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung video ritual menolak bala terhadap enam beranak hingga mendatangkan kecederaan di sebuah kuil di belakang rumah di Selekoh, Rungkup, di sini, seperti tular di laman sosial, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, sami berusia 39 tahun berkenaan dibebaskan tengah hari tadi selepas keterangannya selesai diambil.

Menurutnya, enam beranak terbabit yang berada di lokasi ketika kejadian juga sudah dipanggil untuk diambil keterangan.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam tempoh terdekat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam Harian Metro melaporkan, polis menjalankan siasatan susulan video ritual pembersihan diri untuk menolak bala terhadap enam beranak bersama seorang sami hingga mendatangkan kecederaan di sebuah kuil.

Ritual berkenaan dilakukan seorang lelaki berusia 54 tahun bersama isterinya, 48, dan empat anak mereka berusia 15 hingga 25 tahun pada 7 malam, Ahad lalu.

Ahmad Adnan dilaporkan berkata, upacara itu hanya dihadiri keluarga mangsa saja tanpa orang lain dan sami terbabit adalah anak angkat mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 6:23 PM