Shamran Sarahan dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap rakyat negara ini dapat bersama menterjemahkan solidariti meraikan Hari Kebangsaan dan Malaysia dengan mengibar Jalur Gemilang, sebagai tanda bersatu padu melawan pandemik Covid-19 ketika ini.

Perdana Menteri berkata, Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme setiap rakyat Malaysia, sekali gus dapat mencetuskan solidariti bersama dalam mendepani apa jua cabaran mendatang.

Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia, daripada penjawat awam di Kementerian dan Agensi, warga sektor swasta dan sesiapa juga untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga, tertib dan hormat.

"Saya juga berharap saudara dan saudari mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman ataupun kenderaan masing-masing.

"Marilah kita bersama melakukannya demi menzahirkan rasa cinta terhadap negara, diiringi doa dan harapan agar negara akan segera pulih dari wabak Covid-19, dan kita dapat kembali kehidupan normal dan mengecapi kemakmuran bersama.

"Saya percaya melalui semangat cintakan negara yang sentiasa diperteguhkan, kita akan dapat mengekalkan kehidupan yang harmoni, saling mengasihi dan bersatu hati dalam kalangan rakyat meskipun berlainan kaum, agama dan latar belakang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, pagi hari ini.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021.

MUHYIDDIN ketika Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial. FOTO NSTP
MUHYIDDIN ketika Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial. FOTO NSTP

Mengenai sambutan Hari Kebangsaan dan Malaysia tahun ini, Muhyiddin berkata, negara masih mengekalkan tema yang sama seperti tahun lalu, iaitu Malaysia Prihatin.

Katanya, ia seiring dengan iltizam dan aspirasi berterusan Kerajaan Perikatan Nasional dalam menyemai rasa cinta semua rakyat kepada negara, selain menyemarakkan semangat kebersamaan dalam memerangi pandemik Covid-19 sejak lebih setahun yang lalu.

"Semangat juang tinggi pemimpin dan nenek moyang kita dalam menuntut kemerdekaan negara yang penuh ranjau dan berliku perlu dijadikan iktibar dan memberi inspirasi kepada kita semua.

"Kali ini, kita sedang berperang dengan musuh yang sukar dilihat dan lebih berbahaya.

"Saya berdoa agar saudara dan saudari akan terus cekal dan dikurniakan kekuatan dalam usaha kita untuk menamatkan wabak Covid-19 ini," katanya.

Tahun ini, Terengganu menjadi tuan rumah pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, namun berikutan negara kini berada dalam Pelan Pemulihan Negara bagi mengawal penularan Covid-19, tiada acara sambutan secara fizikal diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 11:09 AM