ANTARA khemah sementara yang dipasang di perkarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Serdang, bagi menempatkan pesakit Covid-19. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANTARA khemah sementara yang dipasang di perkarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Serdang, bagi menempatkan pesakit Covid-19. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Serdang ketika ini sedang menunggu ketibaan beberapa peralatan untuk ditempatkan di dalam khemah bagi menempatkan pesakit Covid-19 di hospital berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, ia termasuk melengkapkan khemah yang dipasang pada 21 Julai lalu, dengan penyaman udara, kipas, air bersih, tandas dan elektrik.

Menurutnya, kemudahan khemah itu dapat menampung sebanyak 81 katil tambahan bagi merawat pesakit Covid-19.

Katanya, JKNS bersiap siaga bagi menghadapi 'surge capacity' atau lonjakan pesakit Covid-19 di negeri ini terutama bagi pesakit kategori tiga dan ke atas.

"Penggunaan sumber luar sebahagian perkhidmatan klinikal melalui hospital swasta sedang giat dilakukan bagi mengurangkan pesakit di hospital awam," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Khamis lalu, media melaporkan pihak Hospital Serdang mengesahkan beberapa penambahbaikan sudah dilakukan pihak hospital bagi menangani masalah kesesakan pesakit Covid-19 di hospital itu seperti yang ditularkan di media sosial.

Khemah yang disediakan adalah bagi merawat pesakit Covid-19 sebelum mereka ditempatkan dalam wad hospital.

Dr Sha'ari berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan pesakit khususnya bukan pesakit Covid-19 mendapat rawatan sewajarnya.

Menurutnya, JKNS akan memantau pelaksanaan penyumberluaran itu mengikut tatacara yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk kriteria pemilihan pesakit dan hospital swasta terbabit.

Katanya, setiap hospital mengoptimumkan fasiliti sedia ada di hospital seperti dewan bedah, klinik dan wad bagi menampung peningkatan jumlah pesakit.

"Inisiatif penggunaan khemah tambahan sebagai wad sementara juga dilaksanakan di kebanyakan jabatan kecemasan di Selangor bagi mengatasi masalah kesesakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 5:38 PM