Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow diarah menjalani kuarantin di rumah selepas seorang pegawai pengiringnya disahkan positif Covid-19.

Kon Yeow dalam kenyataan memaklumkan beliau menerima maklumat berhubung perkara itu, hari ini.

Katanya, berikutan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong tidak dapat menghadiri persidangan khas Parlimen yang akan berlangsung esok.

"Saya dimaklumkan bahawa seorang pegawai pengiring saya disahkan positif Covid-19.

"Justeru, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengarahkan saya menjalani kuarantin di rumah mulai sekarang," katanya.

Menurutnya, dalam saringan Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang dijalankannya pada Jumaat lalu menunjukkan keputusan negatif.

"Saya menjalani ujian itu sebagaimana diwajibkan oleh Parlimen bagi persidangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas.

"Namun, kini saya diarahkan untuk menjalani kuarantin dan ia sudah dimaklumkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat," katanya.

Katanya, beliau juga perlu menjalani satu lagi ujian saringan pada Rabu depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 5:06 PM