GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kes baharu jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang menunjukkan peningkatan 6.4 peratus iaitu daripada 1,007 kes pada Minggu Epid (ME) ke-24 kepada 1,072 kes pada minggu berikutnya iaitu dalam tempoh 19 Jun hingga 25 Jun lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, pihaknya masih menerima statistik harian dan analisis kes mingguan daripada Jabatan Kesihatan negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan meminta orang ramai berjaga-jaga dengan trend peningkatan terbabit.

"Pada minggu lalu terdapat 12 kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital iaitu empat kes Hospital Pulau Pinang (HPP) dan lapan kes di Hospital Kepala Batas dan ia merupakan statistik penting yang harus diambil kira semua pihak.

"Setakat ini, jangkitan membabitkan 10 kes varian Beta, Delta (630 kes), Omicron (318 kes), namun tiada kluster aktif dikenal pasti dalam tempoh tersebut memandangkan kes berlaku secara berselerak di serata negeri biarpun ada peningkatan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, tiada kes kematian akibat jCovid-19 dilaporkan dalam tempoh berkenaan dan pihaknya berharap JKNPP dapat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan luar jangka termasuk keperluan membuka semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri itu.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata bahawa Malaysia dijangka menghadapi gelombang baharu Covid-19 lebih awal berbanding tempoh dua atau tiga bulan yang diumumkan sebelum ini.

Jangkaan awal itu bukan untuk menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat sebaliknya mengambil kira kepada langkah pencegahan yang perlu diambil meliputi setiap aspek oleh semua pihak terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 3:37 PM