Gambar suspek melepasi kawasan PKPD Kampung Pintasan, Kota Belud. FOTO Ihsan PDRM
Gambar suspek melepasi kawasan PKPD Kampung Pintasan, Kota Belud. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan


Kota Belud: Seorang lelaki seolah-olah mencabar pihak berkuasa apabila secara sengaja mengalih pita kuning amaran melepasi bumbung kereta dipandunya untuk keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pintasan, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia lingkungan 30-an itu mengundang padah apabila ditahan polis kelmarin selepas perbuatan lelaki itu dirakam kemudiannya ditularkan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Sahimi Husin berkata, berdasarkan siasatan yang dilakukan, pasukan polis berjaya mengesan suspek dan terus menahannya untuk siasatan lanjut.

"Suspek bertindak melepasi kawasan PKPD di Kampung Pintasan, dengan melanggar pita kuning amaran sebelum mengangkat menggunakan tangannya yang seolah-olah mencabar tindakan pihak berkuasa.

"Selain itu, tindakan itu juga dibimbangi boleh mengundang risiko penularan wabak Covid-19 di kawasan Kampung Pintasan yang diwartakan sebagai kawasan PKPD sebelum ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sahimi berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek memandu dari rumahnya yang terletak dalam kawasan PKPD dan keluar merentasi garisan polis bagi tujuan mengisi minyak.

Katanya, stesen minyak yang dilawati berkenaan terletak di luar kawasan PKPD iaitu di Kampung Tamau, di sini.

"Berikutan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Perkara 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 2) 202," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 6:23 PM