ANGGOTA polis memeriksa myKad pengunjung premis hiburan di Jalan Ipoh pada malam sambutan Krismas. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ANGGOTA polis memeriksa myKad pengunjung premis hiburan di Jalan Ipoh pada malam sambutan Krismas. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jika dilihat dari luar seperti tidak beroperasi, namun itu hanya taktik sebuah pusat hiburan di Jalan Ipoh di sini, kerana menggunakan pintu belakang untuk membenarkan pelanggan masuk ke premis empat tingkatnya.

Kegiatan itu bagaimanapun tetap berjaya dikesan pihak berkuasa dengan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur menyerbu premis terbabit pada 11.30 malam semalam dan menahan 51 pelanggan termasuk 15 wanita yang asyik berhibur.

Premis itu menyajikan karaoke dan minuman keras di 15 bilik.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, serbuan dilakukan hasil makluman awam selepas curiga melihat kenderaan keluar masuk ke lorong belakang premis menjelang tengah malam.

"Polis kemudian menjalankan risikan dan mendapati terdapat kegiatan hiburan dalam premis itu dan serbuan segera dibuat.

"Ketika serbuan, kesemua pengunjung yang berusia antara 29 hingga 53 tahun sedang leka berhibur dalam bilik karaoke tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan pada masa ini," katanya ditemui selepas operasi, malam tadi.

Beliau berkata, pengunjung dikompaun, manakala dua wanita Indonesia berusia 29 dan 39 tahun ditahan bersama seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga premis.

"Siasatan juga mendapati premis beroperasi tanpa lesen (hiburan), namun tidak menolak kemungkinan ia beroperasi dengan permit perniagaan jenis restoran dan bistro," katanya.

Menurutnya, turut ditahan dua lelaki dan tiga wanita selepas didapati positif dadah.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 2:04 PM