GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Seorang pegawai kawalan kualiti syarikat swasta yang dijangkiti Covid-19 mencetuskan satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Jalan Kayu Madang sehingga menular di dua daerah di Sabah, semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster yang membabitkan daerah Kota Kinabalu dan Tuaran itu membabitkan jangkitan dalam kalangan pekerja di C&F Enterprise Sdn Bhd, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Selatan.

"Kluster ini dikesan apabila kes indeks seorang wanita berusia 31 tahun yang juga pegawai kawalan kualiti di syarikat itu disahkan positif Covid-19 di Klinik Kesihatan Manggatal pada 30 Jun selepas bergejala demam dan hilang deria rasa, sejak 27 Jun lalu.

"Kes indeks dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut dan sebanyak 177 sampel dalam kalangan kontak rapat diambil.

"Daripada jumlah itu, 11 kes termasuk lima kes baharu didaftarkan di Kota Kinabalu, manakala tujuh kes lagi di Tuaran menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini adalah 18 kes.

"Sementara itu, 145 sampel negatif dan 22 lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan," katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Masidi turut menjelaskan terdapat satu lagi kluster yang dikesan di Kota Kinabalu iaitu Kluster Lorong Berjaya di mana ia membabitkan jangkitan dalam kalangan kakitangan di premis perniagaan serta kuarters Jetsin Sdn Bhd Bandaran Berjaya.

"Kes indeks bagi kluster ini adalah lelaki berusia 25 tahun, petugas khidmat pelanggan yang bergejala sejak 29 Jun sebelum dikesan positif dalam ujian saringan Covid-19 di Permai Poliklinik Bandaran, pada 30 Jun lepas.

"Sebanyak 104 sampel dalam kalangan kontak rapat, diambil. Daripada jumlah tersebut, lapan kes dikesan positif termasuklah satu kes baharu yang direkod pada hari ini (semalam), sementara 14 sampel didapati negatif dan 82 sampel sedang menunggu keputusan ujian saringan," katanya.

Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah, semalam adalah sebanyak 263 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 70,720 kes dan tiada kes kematian direkodkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 8:12 AM