Peragut yang merentap rantai emas di kawasan Sri Petaling ditahan mangsa yang mengejarnya semalam.
Peragut yang merentap rantai emas di kawasan Sri Petaling ditahan mangsa yang mengejarnya semalam.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Cubaan seorang lelaki meragut rantai emas dipakai seorang lelaki di Sri Petaling, di sini, mengundang padah apabila dia ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kejadian berlaku jam 1.45 tengah hari mangsa berusia 32 tahun yang berniaga durian didatangi suspek berusia 21 tahun menunggang motosikal Yamaha LC yang kemudiannya meragut rantai lehernya.

Menurutnya, mangsa kemudian mengejar suspek dibantu polis yang bertugas di situ.

"Suspek yang hilang kawalan kemudian terbabas sebelum ditahan dan dibawa ke Balai Polis Sri Petaling untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan mendapati suspek menggunakan motosikal dengan nombor pendaftaran palsu di mana motosikal ini pernah direkodkan hilang di daerah Selayang tahun ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar berkata, polis merampas motosikal, rantai emas bernilai RM3,000 dan topi keledar.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan direman tiga hari bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 6:32 PM