FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Akibat tidak memakai pelitup muka, dua lelaki warga Pakistan masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Qayyum, 31, dan Zahid Mehmood, 23, selepas mereka mengaku melanggar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan dengan tidak memakai pelitup muka di depan sebuah kilang di Taman Sri Batu Caves di sini pada 6.30 petang 19 Jun lalu.

Mereka didakwa melanggar Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 dan dihukum mengikut Peraturan 17 peraturan sama yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh masing-masing dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda. Bagaimanapun mereka membayar denda itu.

Terdahulu, peguam Azman Abdullah yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu mahkamah mengenakan denda minimum atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan perlu menanggung keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran memandangkan virus Covid-19 kini bersifat sporadik, boleh tersebar melalui udara dan perbuatan kedua-dua tertuduh yang tidak memakai pelitup muka mengundang bahaya pada diri sendiri serta orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 7:16 PM