Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua individu direman empat hari sehingga 28 Jun ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu untuk membekalkan anak pokok durian Musang King bernilai hampir RM1 juta.

Majistret Zaiton Anuar mengeluarkan perintah itu selepas menerima permohonan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek pertama berusia 57 adalah pengurus projek bagi sebuah syarikat nurseri yang membekal anak pokok durian berkenaan manakala seorang lagi suspek bertugas sebagai penolong pegawai sebuah agensi kerajaan berusia 46 tahun yang bertindak meluluskan tuntutan itu.

Kedua-dua suspek ditahan SPRM di sini selepas mereka dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu, semalam.

Sumber berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, sebuah syarikat nurseri disyaki membuat tuntutan palsu kepada Lembaga Pembangunan Tanah Sarawak (SLDB) pada Disember 2019.

Tuntutan itu adalah bagi perkhidmatan membekal dan menghantar sebanyak 28,805 anak pokok Musang King ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir bernilai RM999,973.50.

Bagaimanapun, perkhidmatan itu tidak dilaksanakan sepenuhnya walaupun pembayaran tuntutan sudah dibuat.

Siasatan terhadap kedua-dua suspek dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Dua orang Warganegara tempatan di bawa ke Mahkamah Kuching untuk permohonan reman atas kesalahan Seksyen 18 ASPRM 2009. FOTO NADIM BOKHARI
Dua orang Warganegara tempatan di bawa ke Mahkamah Kuching untuk permohonan reman atas kesalahan Seksyen 18 ASPRM 2009. FOTO NADIM BOKHARI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 2:49 PM