TANGKAP layar video yang tular di laman sosial Facebook.
TANGKAP layar video yang tular di laman sosial Facebook.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) meminta individu yang mendakwa ada kakitangan mengambil rasuah melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia susulan tular satu video di laman sosial Facebook oleh seorang lelaki yang meluahkan perasaannya berhubung isu warga asing di Pasar Borong Selayang.

Dalam video itu, lelaki terbabit tidak berpuas hati apabila mendakwa tiada tindakan diambil ke atas warga asing dengan menyalahkan JIM dan polis.

Malah, dia turut mendakwa ada wanita tempatan yang datang ke pasar borong turut dihalau warga asing.

Lelaki terbabit yang meluahkan kekecewaannya mendakwa pegawai JIM sengaja membiarkan kejadian itu kerana mengambil rasuah.

Susulan itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud meminta individu terbabit membuat laporan kepada SPRM.

"Dia perlu lapor kepada SPRM," katanya ringkas kepada Harian Metro.

Video terbabit setakat ini sudah ditonton 148,000 dengan menerima 11,000 tanda suka dan 5,100 komen daripada netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 8:43 PM