AZAM puji usaha Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee. FOTO BERNAMA
AZAM puji usaha Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee. FOTO BERNAMA
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: "Iltizam beliau (Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud) dalam membersihkan jabatan Imigresen dari anasir rasuah amat dipuji," ujar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.

Beliau memberitahu amat menghargai kerjasama siasatan dan risikan yang diberikan oleh Khairul Dzaimee kepada SPRM.

Menurutnya, kerjasama itu membolehkan kedua-dua pihak membongkar sindiket pemalsuan cap keluar masuk warga asing melalui pintu masuk utama negara yang dilancarkan sejak dua hari lalu.

"Risikan dan siasatan bersama terhadap kes ini dilakukan sejak beberapa bulan lalu walaupun ia membabitkan beberapa pegawai Imigresen.

"Bukan mudah mendapat kerjasama daripada ketua jabatan seperti ini bagi membolehkan SPRM merungkai permasalahan rasuah di dalam jabatan itu.

"Iltizam beliau ini amat di puji. SPRM amat mengalu-alukan sebarang kerjasama risikan dan siasatan seperti ini dengan mana-mana agensi kerajaan dalam usaha membanteras rasuah dan salahguna kuasa di negara ini," katanya tadi.

Azam berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) adalah antara agensi lain yang menjadi rakan strategik SPRM dalam melaksanakan beberapa risikan dan siasatan bersama sebelum ini.

Khairul Dzaimee dalam kenyataannya semalam memberitahu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan kakitangannya yang terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata, tindakan akan diambil di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen bagi tujuan kepentingan peribadi.

Mereka yang terbabit hendaklah bersedia menghadapi tindakan undang-undang yang akhirnya akan dipenjara dan ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah.

Beliau memaklumkan akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM berhubung penangkapan anggotanya yang terbabit dalam aktiviti pemalsuan cap keselamatan imigresen.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas 46 individu termasuk 27 pegawai JIM ditahan SPRM selepas dikesan terbabit menerima bayaran antara RM500 hingga RM6,000 bagi setiap pasport warga asing yang diuruskan mereka sejak 2017.

Kesemua tertuduh disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Berita berkaitan

Cap palsu: Imigresen 'makan' RM500 hingga RM6,000 seorang

Cap palsu: SPRM buru Hon Loong dan Hun Siang

JIM dedah 'pengkhianat' pada SPRM

Palsu cap sempadan: 23 termasuk 9 orang awam direman

Tiada pegawai JIM Sarawak terbabit

Ejen cop sempadan direman

46 ahli sindiket, anggota Jabatan Imigresen tumpas [METROTV]

13 suspek termasuk 9 anggota JIM direman [METROTV]

Palsu cop sempadan: 40 pegawai JIM, 3 ejen dicekup

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 1:36 PM