MISPANI (kiri) menunjukkan surat daripada JPV digunakan suspek. FOTO Nuraliawati Sabri
MISPANI (kiri) menunjukkan surat daripada JPV digunakan suspek. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Jasin: Dua individu termasuk seorang penjawat awam ditahan selepas dipercayai terbabit dalam sindiket kecurian lembu di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, suspek iaitu penjawat awam berusia 53 tahun dan warga Indonesia 42 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kampung Kelubi, jam 4 petang.

Beliau berkata, suspek dipercayai terbabit dalam kecurian dua ekor lembu di kawasan Kesang, di sini, yang dilaporkan hilang pada 16 April dan 29 Mei lalu.

"Kami menerima dua laporan membabitkan kecurian lembu dan hasil daripada maklumat serta risikan yang dibuat oleh pengadu bersama polis membawa kepada penemuan haiwan itu sebelum tangkapan ke atas suspek dibuat.

"Kedua-dua haiwan ternakan ini dipercayai dijual oleh suspek kepada seorang peraih di kawasan Krubong, Melaka Tengah dengan harga RM1,400 dan RM2,700 setiap seekor," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati suspek turut mempunyai surat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang sah untuk membawa haiwan ternakan.

"Siasatan lanjut berhubung surat kebenaran pergerakan haiwan itu masih dijalankan dan kita akan mendapatkan kerjasama dari JPV negeri.

"Polis percaya ketika membawa lembu ini untuk dijual kepada peraih, suspek menggunakan laluan tikus bagi mengelak dari melalui sekatan jalan raya (SJR) selain pergerakan mereka pada waktu malam," katanya.

Mispani berkata, selain daripada kedua-dua suspek itu, polis percaya terdapat rangkaian lain yang turut melakukan jenayah membekalkan haiwan ternakan itu sempena Aidiladha.

"Ini kerana semalam kami menerima laporan terbaru membabitkan kecurian tujuh lembu lagi membabitkan kerugian kira-kira RM15,000.

"Oleh itu, saya arahkan semua anggota jika terdapat lori yang membawa haiwan ternakan, kita akan minta untuk terus bawa ke balai bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Beliau berkata, suspek warga Indonesia kini direman 14 hari di bawah Akta Imigresen manakala seorang lagi suspek dibebaskan dengan jaminan polis memandangkan dia ada masalah kesihatan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket kecurian lembu memandangkan jenayah ini aktif menjelang hari raya korban. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:00 PM