GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Alor Setar: Seorang Inspektor dan dua anggota polis ditahan bagi membantu siasatan atas dakwaan meminta rasuah berjumlah RM15,000 daripada seorang individu sebagai balasan bagi melepaskan lelaki itu daripada kesalahan pemilikan dadah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah dalam kenyataan hari ini berkata, pegawai polis lelaki berusia 33 tahun itu ditahan bersama dua lagi anggota polis lelaki berpangkat Lans Koperal masing-masing berusia 24 dan 30 tahun di Bandar Baharu antara 12.10 tengah malam hingga 2.30 pagi hari ini.

"Semua suspek meminta suapan berupa wang sebanyak RM15,000 dan menerima wang sebanyak RM2,000 daripada seorang lelaki sebagai balasan melepaskan lelaki berkenaan daripada kesalahan berkaitan dengan pemilikan dadah," katanya.

Ketiga-tiga suspek sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini dan perintah reman selama lima hari bermula hari ini telah dikeluarkan ke atas mereka oleh Penolong Pendaftar Mohammad Alif Abdul Aziz.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan tersebut dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 3:12 PM