Amir Mamat


Ayer Keroh: Kerajaan negeri mengumumkan 60 inisiatif dan pakej bantuan kebajikan rakyat menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021: Sejahtera Bersama hari ini, berjumlah RM174.53 juta.

Ia akan disalurkan melalui jabatan serta agensi kerajaan negeri meliputi pelbagai inisiatif sedia ada seperti diluluskan pada pembentangan Belanjawan Melaka 2021 tahun lalu.

Ketika membentangkan pakej itu, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, jumlah itu tidak termasuk peruntukan khas RM21.45 juta yang disediakan kepada rakyat Melaka menerusi Pakej Bantuan 1.0 yang diumumkan kerajaan negeri tahun lalu.

Sulaiman berkata, pakej rangsangan ekonomi yang dibentangkan itu bersifat inklusif dan komprehensif yang memberi tumpuan kepada usaha membantu keseluruhan masyarakat, termasuk pihak industri tempatan.

Menurut beliau, pakej itu berteraskan keseimbangan hubungan simbiosis membabitkan ekonomi yang berorientasikan kepada keperluan dan kepentingan rakyat secara langsung atau 'People Economy'.

Kata beliau, ia juga berkaitan pengurusan dan dasar ekonomi makro pasca pandemik Covid-19 serta pengurusan ekonomi negeri dikenali sebagai 'Capital Economy'.

"Saya beri jaminan, menerusi Pakej Sejahtera Bersama ini, tidak ada segmen masyarakat yang akan terpinggir daripada menikmati tawaran yang kita sediakan.

SULAIMAN (tengah) menunjukkan buku pelan Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021 sebanyak 60 inisiatif yang bernilai RM 174.53 juta selepas peruntusan khas yang disiarkan secara maya di Pejabat Ketua Menteri, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
SULAIMAN (tengah) menunjukkan buku pelan Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021 sebanyak 60 inisiatif yang bernilai RM 174.53 juta selepas peruntusan khas yang disiarkan secara maya di Pejabat Ketua Menteri, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad

"Pakej ini juga adalah gabungan kepada keseluruhan inisiatif, bantuan demi bantuan yang sebenarnya sudah kita mulakan beberapa minggu lalu, melalui inisiatif yang diumumkan oleh hampir semua agensi kerajaan negeri," katanya pada sidang media selepas membentangkan pakej berkenaan di pejabatnya di Seri Negeri di sini.

Antara bantuan utama untuk rakyat yang dibentangkan Sulaiman termasuk bantuan sekali bayar RM350 kepada golongan B40 dan rentan yang memperoleh gaji harian selain Bantuan Kit Makanan Nutrisi Sejahtera bernilai RM100 setiap satu kepada 32,200 penerima B40 dan warga negara Malaysia yang bermastautin di Melaka.

Selain itu, ia turut membabitkan 23,400 Kit Makanan Musa'adah yang akan diagihkan melalui semua 28 Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun), 186 masjid serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negeri.

Pada masa sama, ia turut membabitkan pemberian 3,000 tablet dan langganan Internet selama setahun untuk keluarga asnaf yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga anak di bawah tanggungan yang masih bersekolah atau menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) selain pembayaran insentif khas kepada 215 pelajar cemerlang Sijil Persekolahan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 5:54 PM