GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lulusan perubatan daripada 36 institusi di dalam dan luar negara boleh mengemukakan permohonan surat layak daftar dan Sijil Pendaftaran Sementara kepada Majlis Perubatan Malaysia (MPM) bermula hari ini melalui sistem Medical Register Information and Technical System (MeRITS).

Menurut kenyataan MPM hari ini, permohonan graduan terbabit ditangguhkan sebelum ini kerana MPM mengesan ada perbezaan nama kelayakan dan/atau nama institusi pada skrol ijazah asas perubatan berbanding yang diwartakan dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

Bagaimanapun berdasarkan maklum balas daripada Penasihat Undang-Undang (PUU) Kementerian Kesihatan (KKM) dan semakan oleh MPM sendiri, majlis itu memutuskan permohonan pendaftaran berkenaan boleh diteruskan kerana perbezaan tersebut hanya kesilapan editorial dan bukan kesalahan substantif.

Sehubungan itu, mesyuarat jawatankuasa penilaian KKM bersetuju mengesyorkan kepada MPM yang akan bersidang pada 22 Jun ini agar membenarkan proses pendaftaran sementara diteruskan serta-merta, dan pada masa sama, pembetulan serta perwartaan akan dijalankan, demikian menurut kenyataan tersebut.

Lima daripada institusi tersebut ialah universiti dalam negara iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Taylor's University.

Bakinya termasuk 10 universiti di Indonesia iaitu Airlangga Universiti, Universitas Udayana Denpasar, Universitas Sriwijaya, Universitas Andalas, Universitas Brawijaya, Universitas Gajah Mada, Universitas Hasanuddin, Universitas Kristen Krida, Universitas Padjadjaran, dan Universitas Sumatra Utara.

Universiti lain ialah Al-Azhar University, University of Ain Shams, University of Cairo, University of Mansoura, University of Tanta, University of Zagazig dan University of Alexandria di Mesir; manakala di Poland ialah The Medical University of Warsaw dan Medical University of Lodz.

Universiti di Rusia yang terlibat ialah I.M.Sechenov First Moscow State Medical University, Kursk State Medical University, Privolzhsky Research Medical University, N.I.Pirogov Russian National Research Medical University dan Volgograd State Medical University, sementara di Bangladesh melibatkan University of Dhaka dan University of Chittagong.

Institusi lain ialah University of Manchester, University of Edinburgh dan Cardiff University di United Kingdom; University of Khartoum (Sudan) serta Jordan University of Sciences And Technology (Jordan).

Menurut MPM, jawatankuasa penilaian juga akan mengesyorkan kepada MPM bahawa mana-mana pengamal perubatan daripada institusi yang tersenarai dan telahpun berdaftar dengan MPM sebelum pembetulan dan pewartaan dilakukan adalah pengamal perubatan yang sah berdaftar di sisi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 5:37 PM