Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Warganegara Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran perubatan di tujuh universiti di Mesir, wajib memenuhi syarat kelayakan minimum kemasukan yang ditetapkan kerajaan Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata mesyuarat Majlis Perubatan Malaysia (MPM) ke-407 pada 22 Jun lalu menetapkan syarat kelayakan minimum sekurang-kurangnya lepasan matrikulasi/asasi/prauniversiti atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/A-Level atau lain-lain peperiksaan yang setara dengannya.

Dr Noor Hisham yang juga Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MPM) memaklumkan bahawa MPM menerima pemakluman berhubung pengurangan tempoh pengajian dari enam tahun kepada lima tahun pengajian bagi kesemua tujuh universiti Mesir yang diiktiraf oleh MPM, seperti yang tersenarai dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

"Beberapa siri perbincangan diadakan oleh MPM bersama pelbagai pihak termasuk pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Mesir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan turut bersetuju sekiranya syarat kemasukan minimum tidak dipenuhi, bakal graduan daripada universiti itu mungkin berhadapan masalah untuk berdaftar bersama MPM.

Katanya MPM juga akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan universiti-universiti berkenaan daripada senarai universiti yang diiktiraf dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012) sekiranya perkara itu berlanjutan.

Sehubungan itu, MPM meminta kerjasama semua pihak terutamanya badan pemberi biasiswa atau bantuan pendidikan untuk memastikan syarat itu dipatuhi supaya sebarang kesulitan dapat dielakkan bagi pelajar untuk berdaftar dengan MPM selepas tamat pengajian.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Dr Noor Hisham berkata semua program latihan kepakaran perubatan yang ditawarkan dalam negara oleh pemberi pendidikan tinggi (PPT), perlu berdaftar dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan melalui proses akreditasi.

Syor berkenaan dicapai dalam mesyuarat bersama antara MPM, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kementerian Kesihatan (KKM) dan KPT pada 15 Jun lalu, bagi membincangkan pelaksanaan proses akreditasi oleh MQA untuk program latihan kepakaran perubatan dalam negara.

Menurut Dr Noor Hisham Abdullah, syor berkenaan turut membabitkan program berstatus kerjasama atau berkembar bersama badan penganugerah sijil antarabangsa.

Katanya, MPM mengiktiraf dua jenis kelayakan kepakaran perubatan bagi tujuan pendaftaran pakar dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR).

Ia membabitkan kelayakan dalam negara yang ditawarkan oleh PPT tempatan awam atau swasta; dan kelayakan luar negara, sama ada yang ditawarkan sepenuhnya di negara asal atau secara kerjasama dengan PPT tempatan.

"Bagi kelayakan (dalam negara), PPT perlulah berdaftar bersama KPT dan program latihan kepakaran perubatan ini diakreditasi oleh MQA menggunakan "Malaysian Standards for Medical Specialist Training" sebelum diiktiraf oleh MPM," katanya.

Bagi kelayakan yang dijalankan sepenuhnya di negara asal, Dr Noor Hisham berkata proses akreditasi oleh MQA tidak diperlukan kerana program berkenaan adalah di bawah badan akreditasi negara masing-masing.

"Bagi kelayakan yang ditawarkan secara kerjasama dengan PPT tempatan melalui program latihan kepakaran perubatan dalam negara pula, perlulah melalui proses yang sama seperti kelayakan tempatan," katanya.

Bagi kelayakan "Parallel Pathways" pula, Dr Noor Hisham berkata mesyuarat pada 15 Jun juga bersetuju proses akreditasi MQA tidak perlu memandangkan ia bukan program latihan yang ditawarkan oleh PPT dalam negara dan KKM pula hanya menyediakan kemudahan bagi calon dalam persediaan menduduki peperiksaan.

Menurutnya, pihak KKM terbabit dalam menyediakan kemudahan bagi calon-calon "Parallel Pathways" dari segi penyediaan slot latihan kepakaran berkaitan, seliaan on-the-job training dan bantuan kewangan kepada mereka sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan luar negara.

"Pihak MPM bersama-sama MQA akan memastikan kualiti program pendidikan dalam negara yang membabitkan latihan kepakaran perubatan menepati standard yang telah ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 4:30 PM