SITI Awanis (tengah) menunjukkan keputusan STAM kepada ibu bapanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Stan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
SITI Awanis (tengah) menunjukkan keputusan STAM kepada ibu bapanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Stan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: "Saya tekad belajar bersungguh-sungguh selepas melihat pengorbanan ayah yang setiap hari berulang-alik menghantar saya ke sekolah," kata Siti Awanis Mohd Fauzi, 19.

Pelajar Maahad Muhammadi Perempuan itu memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang) dan 1 Jayyid Jiddan (sangat baik) bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang diumumkan hari ini.

Menurut Siti Awanis, hanya kecemerlangan dalam pelajaran sahaja mampu diberikan sebagai hadiah untuk menghargai pengorbanan ibu bapanya yang selama ini memerah keringat membesarkannya dan empat lagi adik yang masih kecil.

"Ayah saya, Mohd Fauzi Awang, 48, hanya bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai perabot, manakala ibu, Zaimah Mat Rawi, 44, pula tidak bekerja dan disebabkan itulah saya ingin belajar bersungguh-sungguh mengubah nasib keluarga selain menjadi contoh teladan kepada adik-adik.

"Mereka sudah banyak berkorban untuk menjaga saya sejak dari kecil dan kejayaan yang dicapai ini adalah berkat doa ibu serta ayah yang tidak pernah putus dan hanya kejayaan dalam pelajaran dapat diberi untuk balas jasa mereka," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Stan, di sini, hari ini.

Anak sulung daripada lima beradik ini berkata, dia tidak mempunyai apa-apa rahsia mengenai kejayaan yang diperoleh itu, sebaliknya mengamalkan solat hajat dan bangun jam 3 pagi setiap hari untuk menghafal.

"Kebanyakan mata pelajaran diambil memerlukan saya menghafal dan setiap pagi saya akan bangun kerana pada waktu itu ia memudahkan saya untuk mengingati apa yang dihafal.

"Selain itu, sepanjang mengikuti PdPR ketika pandemik Covid-19, guru juga gigih memberi latih tubi mengikut modul dan bagi memudahkan untuk mengulangkaji, saya akan mencetak bahan rujukan atau latihan diberikan itu," katanya.

Katanya, ketika menduduki ujian percubaan STAM, dia hanya memperoleh keputusan 7 Mumtaz, 2 Jayyid Jiddan dan 1 Jiddan, namun ia menjadi pembakar semangat untuknya memperoleh keputusan lebih cemerlang dalam ujian sebenar.

"Saya berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan kerana sejak dari kecil sudah bercita-cita menjadi seorang pendidik," katanya.

Sementara itu, ibunya, Zaimah melahirkan rasa syukur apabila anak sulungnya memperoleh keputusan cemerlang dalam STAM yang diumumkan hari ini.

"Pada awalnya saya agak bimbang memandangkan dalam situasai pandemik Covid-19, sistem pembelajaran berubah kepada norma baharu, anak-anaknya terpaksa belajar secara dalam talian.

"Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran, Siti Awanis mampu memperoleh keputusan yang cemerlang selain seorang boleh dianggap sebagai 'ulat buku' sejak kecil kerana suka kepada bahan bacaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 4:21 PM