PROF Madya Dr Azmi Hassan. FOTO arkib NSTP
PROF Madya Dr Azmi Hassan. FOTO arkib NSTP
Hayati Ibrahim


Kuala Lumpur: Pembukaan semula sidang Parlimen bukan untuk mencabar keabsahan sesebuah kerajaan, sebaliknya ia perlu digunakan untuk mengurus hal ehwal negara terutama ketika sedang berdepan pandemik Covid-19.

Pakar Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, apa yang diperlukan ketika ini adalah sebuah kerajaan yang stabil.

"Belum tiba masanya untuk pertukaran kerajaan. Kalau itu berlaku, tujuan sebenar Parlimen bersidang tidak akan tercapai.

"Ini bermakna semua pihak perlu memberi sokongan kepada kerajaan sekarang ini, itu yang paling penting pada kita," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dipetik berkata, Seri Paduka Baginda amat menyedari peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

Ia bagi membolehkan ahli-ahli Dewan Rakyat berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara.

Dalam pada itu, Azmi berkata, kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan dan berharap semua parti politik memberi jaminan untuk tidak menimbulkan isu undi tidak percaya pada persidangan berkenaan.

"Bagi saya DAP sudah beri jaminan mereka tidak akan timbulkan isu ini, kalau DAP dah beri jaminan kemungkinan Pakatan Harapan (PH) sudah beri jaminan sama.

"Harapannya ahli politik lain juga dapat memberi jaminan supaya persidangan Parlimen digunakan untuk mengurus hal ehwal negara," katanya.

Ditanya mengenai cadangan penubuhan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti yang diusulkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Azmi berkata, beliau masih meletakkan keyakinan kepada 222 ahli Parlimen.

"Biar mereka yang membuat keputusan sama ada kerajaan nak dikekalkan atau ditukar. Kalau Mageran maksudnya ahli Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk buat sesuatu dan rakyat tak mempunyai suara.

"Kita masih mempunyai institusi Parlimen itu sendiri dan sepatutnya kita beri keyakinan kepada semua ahli Parlimen kita supaya membuat keputusan yang betul, kalau Mageran, kiranya dah tak ada demokrasi di situ," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, undi tidak percaya tidak akan timbul jika sidang Parlimen dibuka dengan hanya satu agenda iaitu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Ini berguna untuk rakyat kerana selama ini ahli Parlimen hanya berkokok di luar reban.

"Kalau hanya ada persidangan khas dengan satu agenda khas, pasti tidak ada pihak yang akan menimbulkan isu undi tidak percaya, dan Speaker perlu mengawal keadaan ini," katanya.

Berita berkaitan:

  • Agong zahir pandangan Parlimen perlu bersidang segera
  • Raja-Raja Melayu sependapat tiada keperluan darurat disambung
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 10:06 AM