Kuala Lumpur: Kerajaan akan berusaha mempercepat dan mempermudahkan proses pemberian vaksin bagi memastikan sasaran imuniti kelompok tercapai.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara langkah yang diambil ialah penambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Beliau berkata, pembabitan klinik swasta juga akan diperluaskan pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

UCAPAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). FOTO ihsan FB Muhyiddin Yassin
UCAPAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). FOTO ihsan FB Muhyiddin Yassin

"Sebanyak 1,000 klinik perubatan swasta atau Pusat Pemberian Vaksin General Practitioner (PPVGP) disasarkan terbabit dalam PICK menjelang hujung bulan ini.

"Selain itu, kerajaan juga melancarkan unit vaksinasi bergerak yang akan ke kawasan pedalaman dan kampung bagi memastikan penduduk di sana berpeluang menerima vaksin," katanya pada Ucapan Perdana Menteri mengenai Perkembangan PICK, hari ini.


Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mengambil maklum keresahan orang ramai yang belum menerima tarikh temujanji untuk menerima vaksin.

"Saya sudah mengarahkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk memastikan mereka yang mendaftar di semua platform mendapat tarikh temujanji dengan segera.

"Setakat ini seramai 13 juta individu sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin, namun jumlah ini hanya 51 peratus daripada jumlah keseluruhan yang layak," katanya.


Beliau berkata, kerajaan juga mendengar keluhan rakyat di luar bandar, kampung dan kawasan pedalaman terutamanya golongan warga emas yang sukar membuat pendaftaran.

"Jadi saya arahkan kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan supaya menggunakan semua aset kerajaan bagi mempermudahkan mereka mendapatkan vaksin.

"Saya juga meminta JKJAV untuk memudahkan cara rakyat mendapatkan vaksin termasuk mengkaji cadangan pelaksanaan secara automatik supaya seramai mungkin rakyat dapat divaksinasikan," katanya.


Muhyiddin turut menyeru rakyat terutama golongan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya tampil sebagai sukarelawan membantu melancarkan proses pemberian vaksin dalam usaha mencapai objektif imuniti berkelompok.

"Bagi mereka yang sudah menerima vaksin, jangan alpa dengan langkah pencegahan jangkitan Covid-19. Kita jangan sesekali leka dalam peperangan menentang penularan wabak ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 11:39 AM