Datuk Seri Mohamad Hasan.
Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Prihatin dengan kesukaran dihadapi rakyat akibat Covid-19, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan bersetuju untuk memberi semua gaji dan elaunnya selama enam bulan kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Beliau berkata, langkah itu untuk membantu masyarakat di kawasan DUN diwakilinya yang didapati terkesan akibat Sekatan Pergerakan Penuh (SPP), bermula semalam.

"Saya akan minta kerajaan negeri untuk memasukkan semua gaji dan elaun saya ke akaun yang akan diuruskan oleh Pusat Khidmat DUN Rantau untuk kegunaan penduduk di kawasan itu.

"Saya akan menulis surat kepada bahagian protokol bagi memaklumkan perkara ini dalam masa terdekat.

"Selama ini pun di pusat khidmat kita memang ada membantu rakyat yang memerlukan dari segi keperluan, terutama mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan bahawa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan di negeri itu sudah membuat pemotongan elaun wakil rakyat masing-masing bagi disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana.

Beliau berkata, pemotongan sebanyak 10 peratus daripada elaun wakil rakyat selama enam bulan itu bermula Januari lalu.

"Kita sudah buat lebih awal dan jika ada lagi mahu buat pemotongan, kita amat menggalakkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 5:43 PM