TULAR dimedia sosial mengenai warga emas dikompaun polis. FOTO tular
TULAR dimedia sosial mengenai warga emas dikompaun polis. FOTO tular
Abnor Hamizam Abd Manap


Tampin: Beri alasan tidak munasabah kononnya mahu mengambil kereta yang sudah siap dibaiki di sebuah bengkel di daerah Tampin.

Alasan itu bagaimanapun mengundang padah apabila seorang lelaki warga emas dikenakan kompaun RM5,000 kerana melakukan pergerakan rentas negeri dari Alor Gajah, Melaka ke Tampin, Negeri Sembilan tanpa kebenaran.

Ketua Polis Daerah Tampin, Anuwal Ab Wahab berkata warga emas berusia 74 tahun ditahan ketika melalui pemeriksaan dilakukan pasukan khas pematuhan Prosedur Operasi Standard ( SOP ) pada jam 10.30 pagi semalam.

"Lelaki itu hanya memandu sendirian dan bukannya datang berdua. Dia juga memberi alasan berubah-ubah dan mengelirukan.

"Berikutan itu dia dikenakan kompaun selepas melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan selepas gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran bagi tujuan merentas negeri," katanya.

Kejadian warga emas dikompaun itu turut tular di media sosial apabila ada segelintir nitizen mempertikaikan tindakan polis yang tidak menggunakan budi bicara sebelum mengeluarkan kompaun.

Anuwal berkata, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi kejadian itu selain terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Dapatkan kebenaran polis dengan mengemukakan bukti kukuh jika perlu melakukan pergerakan rentas daerah atau negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 4:02 PM