GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Georgetown: Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Pinang menahan seorang lelaki bersama 300 kilogram (kg) dan 200 bungkus air ketum siap diproses di sebuah rumah teres dua tingkat di Sungai Batu, Teluk Kumbar, di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah Satu Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan dalam serbuan pada 7 malam hasil risikan dan intipan dijalankan sejak seminggu lalu.

"Sepasukan polis yang sedang menjalankan Op Benteng Covid menyerbu rumah itu, dan lelaki berkenaan mengaku kediaman terbabit miliknya, di mana pemeriksaan menemui daun serta air ketum dan pelbagai peralatan memproses serta memasaknya.

"Kami turut merampas sebuah lori dipercayai digunakan untuk menghantar bekalan air ketum di seluruh negeri ini. Semua rampasan iaitu 300 kg daun ketum, 200 bungkus air ketum dan lori itu bernilai RM55,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rosman berkata, siasatan mendapati lelaki itu aktif menjalankan kegiatan memproses dan mengedar air ketum sejak awal tahun ini, dengan memperoleh bekalan daun ketum dari Jeniang, Kedah.

Menurutnya, pihaknya mendapati lelaki itu menjual air ketum siap diproses pada harga RM5 sebungkus dan suspek dipercayai memperoleh pendapatan hasil jualan mencecah sehingga RM15,000 sebulan.

Katanya, polis juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi individu yang terbabit dengan sindiket itu kerana mereka menjalankan kegiatan memproses air ketum dalam kuantiti yang banyak.

"Lelaki yang tidak bekerja itu direman empat hari bermula hari ini, bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 6:13 PM