Objek seakan-akan tengkorak manusia yang ditemukan di dalam longkang di Jalan Makloom, di sini. FOTO  IHSAN PEMBACA
Objek seakan-akan tengkorak manusia yang ditemukan di dalam longkang di Jalan Makloom, di sini. FOTO IHSAN PEMBACA
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Tengkorak manusia ditemukan dalam longkang berhampiran sebuah premis di Jalan Makloom, di sini, semalam.

Penemuan objek terbabit disedari oleh kelindan lori yang sedang berehat berhampiran tempat kerjanya pada 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki berusia 22 itu dikatakan terlihat objek terbabit di dalam longkang sebelum memaklumkan kepada majikannya.

Katanya, pemeriksaan polis menemukan satu objek dipercayai tengkorak manusia di dalam longkang seluas kira-kira 0.91 meter.

"Pasukan Forensik dan Unit K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang juga hadir ke tempat kejadian bagi melakukan siasatan.

"Tengkorak itu kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Soffian berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 1:06 PM