TENGKORAK dan serpihan tulang dipercayai milik manusia ditemukan di sebuah ladang sawit di Batu 5, Teluk Intan. FOTO Ihsan PDRM
TENGKORAK dan serpihan tulang dipercayai milik manusia ditemukan di sebuah ladang sawit di Batu 5, Teluk Intan. FOTO Ihsan PDRM
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Tengkorak dan serpihan tulang dipercayai milik manusia ditemukan seorang pekerja ladang warga Bangladesh ketika meracun rumput di sebuah ladang sawit di Batu 5, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pekerja berkenaan kemudian memaklumkan penemuan itu kepada anggota polis bantuan ladang yang menghubungi polis pada 11.30 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota Unit Forensik D10 dan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dihantar ke lokasi untuk tindakan lanjut.

"Tengkorak disyaki milik manusia itu dijumpai di kawasan pokok sawit, manakala cebisan tulang tangan, pelvis, gigi dan paha ditemui bertaburan di kawasan itu dalam jarak antara 10 hingga 20 meter antara satu sama lain dipercayai dimakan biawak dan anjing.

"Unit D10 mengumpul cebisan tulang sebanyak 22 spesimen dan sampel tanah, namun tiada penemuan lain sama ada pakaian simati atau apa-apa senjata di tempat kejadian untuk mengaitkan ia dengan unsur jenayah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tengkorak dan tulang berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk tindakan lanjut bagi mengesan identiti mangsa.

Menurutnya, sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

"Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Ketua Polis Balai Teluk Intan, Inspektor Al-Ikhsan Borhan di talian 05-6299222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 11:47 PM