GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Yun Mikail


Beaufort: Bilangan mangsa banjir di Sabah terus meningkat apabila seramai 332 orang daripada 86 keluarga membabitkan empat daerah iaitu Beaufort, Tenom, Keningau dan Sipitang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat 4 petang ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah berkata, Tenom mencatatkan jumlah penduduk paling ramai terjejas banjir.

"Seramai 197 mangsa membabitkan 54 keluarga dipindahkan ke lima PPS sekitar Tenom.

"Lima PPS berkenaan adalah Rumah Kebudayaan Marias dengan jumlah dipindahkan seramai 72 orang daripada 20 keluarga, Dewan Gereja (RC) Kampung Bangkukin (54 mangsa, 13 keluarga), Rumah Kebudayaan Kalibatang Lama (34 mangsa, 11 keluarga), Rumah Kebudayaan Kalang Kanar (26 mangsa, lima keluarga) dan Rumah Kebudayaan Mamaitom (11 mangsa, lima keluarga).

"Daerah kedua tertinggi mencatatkan bilangan mangsa banjir tertinggi ialah daerah Beaufort iaitu seramai 90 orang mangsa membabitkan 25 yang kini berada di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir.

"Sementara itu, PPS Dewan Kampung Pauh, Sook, Keningau terdapat 41 mangsa banjir terdiri daripada enam keluarga manakala daerah Sipitang hanya terdapat empat orang mangsa daripada satu keluarga yang kini ditempatkan di PPS Dewan Sindumin," katanya.

Dalam pada itu, Jurucakap APM memaklumkan semua agensi yang berkaitan sentiasa bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Oleh itu, kita menasihatkan penduduk setempat khususnya tinggal di kawasan rendah atau berhampiran sungai agar sentiasa peka dengan keadaan suasana semasa selain berpindah segera jika perlu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 5:15 PM