ANGGOTA APM menjalankan pemantauan di beberapa lokasi yang masih dinaiki air di Beaufort. FOTO Ihsan JPBN Sabah
ANGGOTA APM menjalankan pemantauan di beberapa lokasi yang masih dinaiki air di Beaufort. FOTO Ihsan JPBN Sabah
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Keadaan banjir di Beaufort dan Tenom semakin pulih apabila jumlah mangsa menurun kepada 707 orang pagi ini berbanding 1,435 mangsa, semalam.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, semua mangsa banjir masih ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah berkenaan.

Katanya, semua mangsa adalah daripada 323 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir sejak Isnin lalu.

"Sebanyak lima PPS masih dibuka di Tenom iaitu Dewan Mini Jinuim Jimin yang menempatkan 139 mangsa, Rumah Kebudayaan Batu-Batu (123), Rumah Kebudayaan Pantagon Saga (47), Dewan Kalang Kanar (24) dan Dewan Terbuka Kampung Saga (22).

"Dua lagi PPS di Beaufort membabitkan Dewan Selagon menempatkan seramai 218 mangsa dan Dewan DSP Dun Banir terdapat seramai 134 mangsa banjir," katanya dalam kenyataan hari ini

Sementara itu, sebanyak 12 sekolah di dua daerah berkenaan belum dapat beroperasi akibat banjir, setakat hari ini.

Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Sabah, Abidin Marjan berkata, semua sekolah yang terbabit iaitu sekolah rendah dan sebuah sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC).

Katanya, mengikut rekod diterima, sembilan daripada sekolah terjejas adalah di daerah Beaufort manakala selebihnya pula di daerah Tenom.

"Seramai 1,975 murid yang terjejas akibat banjir kilat berkenaan, manakala 215 guru turut terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 11:50 AM