Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di empat daerah dan lima mukim di Pahang, Pulau Pinang serta Perak bermula Isnin sehingga 23 Mei ini.

Antara daerah terbabit adalah Kuantan di Pahang; Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, Mukim 12 Barat Daya, Bandar Butterworth Seberang Perai Utara, Mukim 14 Seberang Perai Utara di Pulau Pinang dan Mukim Hulu Kinta (meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan) serta Mukim Belukar Semang di Perak.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan jumlah kes sporadik di Kuantan dengan jumlah kluster aktif direkodkan sehingga kini adalah 10 kluster.

"KKM melaporkan sebanyak 1,578 kes positif Covid-19 direkodkan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam komuniti.

"KKM juga melaporkan terdapat 14 kluster aktif dengan kadar insiden yang semakin meningkat di beberapa mukim dan daerah di Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes yang amat ketara di Mukim Hulu Kinta apabila minggu epid 17 merekodkan 176 kes positif daripada 1,185 saringan dengan kadar positiviti 14.85 peratus.

Katanya, manakala di Mukim Belukar Semang mencatatkan peningkatan kes secara mendadak di dua institusi di Pengkalan Hulu dengan kadar positiviti yang tinggi.

"Pelaksanaan PKP di kawasan itu untuk memudahkan KKM melaksanakan tindakan pengawalan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke kawasan lain," katanya.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) di semua kawasan PKP berkenaan adalah sama seperti PKP yang diumumkan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 8:23 PM