Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 544,018 individu melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sehingga semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi akaun Twitter hari ini berkata, seramai 877,646 individu menerima dos pertama bagi tempo yang sama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini adalah sebanyak 1,421,664 dos.

Menerusi satu infografik yang dikongsikan, Dr Adham berkata, lima negeri yang menerima suntikan dos pertama tertinggi ialah Selangor dengan 116,515 dos diikuti Kuala Lumpur (89,663), Sarawak (89,240), Johor (78,709) dan Sabah (72,045).

Lima negeri tertinggi yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 sehingga semalam pula adalah Selangor dengan 73,608 dos diikuti Sarawak dengan 56,140, Perak (51,825), Sabah (50,441) dan Kuala Lumpur (49,277).

Menurutnya, seramai 9,395,917 daripada golongan sasaran sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin sehingga semalam.

Pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini mensasarkan 500,000 orang divaksinasi.

Fasa kedua bermula pada bulan ini hingga Ogos pula membabitkan 9.4 juta termasuk warga emas, golongan berisiko tinggi dan orang kurang upaya (OKU), manakala fasa ketiga pada Mei hingga Februari tahun depan akan membabitkan 13.7 juta terdiri daripada individu berusia 18 tahun dan ke atas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 5:28 PM