Lori membawa muatan baja yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan seorang maut di Kilometer 69 Jalan Mukah-Selangau, hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Lori membawa muatan baja yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan seorang maut di Kilometer 69 Jalan Mukah-Selangau, hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Mohd Roji Kawi


Sibu: Seorang lelaki maut manakala isteri dan empat anaknya cedera selepas kereta Hyundai Atos yang mereka naiki bertembung dengan lori di Kilometer 69, Jalan Mukah-Selangau, hari ini.

Mangsa, Moses Puso, 47, tersepit di dalam kereta dipandunya disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu.

Isterinya Emma Mada, 36, pula cedera di bahagian kaki dan masih pengsan ketika pasukan penyelamat tiba.

Seorang anak pasangan itu cedera parah iaitu Mixmillion Sempurai Moses,10, manakala tiga lagi, Natasha Ester Moses, 13; Nashville Avil Moses, 15 dan Makellinne Theodora Moses, 8, pula cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, lelaki berusia 36 tahun pemandu lori yang terbabit dalam kejadian itu pula tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila kereta dipandu mangsa cuba memotong sebuah lori di hadapannya.

"Pada masa sama, sebuah lori membawa muatan baja datang dari arah bertentangan dan mangsa gagal memotong lori di hadapannya lalu berlaku pertembungan.

"Akibat kejadian itu, mangsa bersama isteri serta seorang anaknya tersepit di dalam kereta manakala tiga lagi anaknya berjaya dikeluarkan oleh orang awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata, mayat mangsa dikeluarkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau sebelum dihantar ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.

"Isteri dan semua anak mangsa pula dikejarkan ke Klinik Kesihatan Selangau untuk rawatan awal dan kemudian dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut," katanya.

Katanya lagi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 4:07 PM