WANG yang digunakan suspek untuk cuba menyogok pegawai polis. FOTO Ihsan Polis
WANG yang digunakan suspek untuk cuba menyogok pegawai polis. FOTO Ihsan Polis
Ahmad Ismail


Tangkak: Tindakan seorang wanita warga Vietnam yang cuba menyogok pegawai polis sebagai ganjaran untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap dua rakan senegaranya mengundang padah apabila dia ditahan di Balai Polis Tangkak di sini, kelmarin.

Wanita berusia 40 tahun itu menawarkan RM5,000 kepada pegawai polis berpangkat Inspektor terbabit sebagai dorongan untuk membebaskan dua rakan lelaki berusia 31 dan 44 tahun yang ditahan polis sejak Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, suspek hadir ke Balai Polis Tangkak jam 12.20 tengah hari berhubung penahanan dua lelaki warga Vietnam itu yang ditahan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Tol Bukit Gambir, di sini.

Katanya, rakan suspek itu ditahan untuk tindakan lanjut selepas didapati tiada dokumen perjalanan diri dan tiada surat kebenaran rentas negeri.

"Ketika bertemu dengan pegawai polis terbabit berhubung penahanan rakan senegaranya itu, suspek cuba menyogok dengan menawarkan RM5,000 yang diletakkan dalam sampul angpau supaya membebaskan dua lelaki berkenaan.

"Suspek juga bersedia menambahkan jumlah wang itu jika ia tidak mencukupi, ketika bertemu pegawai terbabit di pejabatnya," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, pegawai polis berkenaan sudah memberi amaran kepada wanita itu, namun suspek tetap menghulurkan wang berkenaan.

"Pegawai polis itu kemudian menahan suspek yang juga kontraktor jubin itu kerana cuba merasuah polis," katanya.

Katanya, kes dirujuk ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Cawangan Segamat untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 5:24 PM