Wang yang dirampas daripada wanita terbabit. FOTO ihsan PDRM
Wang yang dirampas daripada wanita terbabit. FOTO ihsan PDRM
Ahmad Ismail


Tangkak: Seorang wanita warga Vietnam ditahan atas cubaan menyogok pegawai kanan polis dengan menawarkan RM5,000 di Balai Polis Tangkak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari Jumaat lalu, suspek berusia 40 itu datang bertemu pegawai penyiasat lelaki berpangkat Inspektor di pejabatnya di sini, sebelum memohon pembebasan dua lelaki yang juga rakan senegaranya berusia 31 dan 44 tahun.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, dua lelaki itu ditahan dalam pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di Tol Bukit Gambir pada 20 April lalu.

"Mereka dibawa ke Balai Polis Tangkak selepas tidak memiliki dokumen perjalanan diri dan surat kebenaran rentas negeri.

"Suspek (wanita) menawarkan RM5,000 yang dimasukkan ke dalam sampul kepada pegawai terbabit supaya membebaskan dua lelaki itu.

"Dia (suspek) juga bersedia menambahkan jumlahnya jika tidak mencukupi," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, pegawai terbabit memberi amaran bahawa dia boleh ditangkap atas kesalahan rasuah namun wanita itu tetap menghulurkan wang berkenaan walaupun sudah diingatkan berkali-kali.

"Pegawai itu kemudian menahan suspek yang juga kontraktor jubin kerana cuba merasuah polis," katanya.

Katanya, wang itu dirampasdan kes disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sebelum dirujuk ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Segamat untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 5:06 PM