AZMAN Adam (dua kiri) memeriksa harga barang basah ketika pemeriksaan skim harga maksimum musim perayaan di Pasar Awam Moden, Seksyen 6, Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal
AZMAN Adam (dua kiri) memeriksa harga barang basah ketika pemeriksaan skim harga maksimum musim perayaan di Pasar Awam Moden, Seksyen 6, Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebanyak empat aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 yang bermula Rabu lalu.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, empat aduan itu membabitkan kesalahan menjual melebihi harga yang ditetapkan (harga kawalan) serta tidak meletakkan tanda harga pada barangan jualan.

Katanya, dua aduan dari Selangor manakala manakala masing-masing satu daripada Perak serta Kedah.

"Sehingga semalam tindakan sudah diambil terhadap peniaga yang meletakkan harga melebihi harga kawalan dan kita akan membuat siasatan lanjut kepada pembekal kenapa mereka menjual kepada peruncit melebihi harga yang ditetapkan.

"Sekiranya pembekal meletakkan harga yang tinggi dengan alasan ia (harga tinggi) dari pengeluar atau penternak, kita akan siasat juga dari sudut itu (pengeluar).

"Kita meletakkan harga di setiap peringkat dan berharap mereka (peniaga, pembekal) patuh pada harga yang ditetapkan," katanya selepas sesi pemantauan SHMMP 2021 di Pasar Moden Seksyen 6, di sini, tadi.

Beliau berkata, pembekal dan pengeluar tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang sekiranya membekalkan barangan atau bahan yang basah tidak mengikut SHMMP.

Katanya, sehingga kelmarin sebanyak 8, 347 premis borong dan runcit diperiksa selaras dengan pelaksanaan SHMMP.

Azman berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan di seluruh negara sama ada di kawasan bandar atau luar bandar untuk memastikan tiada isu kepenggunaan terutamanya berkaitan harga timbul sepanjang pelaksanaan skim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 3:40 PM