BUNGKUSAN guni yang mengandungi daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran melalui jalan laut gagal dan dirampas APMM di kedudukan 0.1 batu nautika dari pesisir pantai Kuala Tunjang. FOTO Ihsan APMM
BUNGKUSAN guni yang mengandungi daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran melalui jalan laut gagal dan dirampas APMM di kedudukan 0.1 batu nautika dari pesisir pantai Kuala Tunjang. FOTO Ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Cubaan menyeludup kira-kira 60 kilogram (kg) daun ketum ke negara jiran melalui jalan laut gagal apabila dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Bungkusan daun ketum dalam guni disembunyikan di celahan pokok ditemukan pada kedudukan 0.1 batu nautika dari pesisir pantai Kuala Tunjang, di sini, pada 6.15 petang.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, hasil maklumat sebuah bot ronda dihantar ke lokas dan mengesan beberapa bungkusan plastik mencurigakan di pesisir pantai berkenaan.

Beliau berkata, anggota penguat kuasa kemudian menemui enam bungkusan guni serta plastik berwarna hitam mengandungi daun ketum disyaki cuba diseludup keluar ke Thailand.

"Kesemua daun ketum dianggarkan seberat 60 kg bernilai RM10,800 dirampas untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, walaupun banyak rampasan dilakukan, aktiviti penyeludupan masih aktif dilakukan dengan menggunakan pelbagai helah.

"Justeru, APMM meminta kerjasama orang ramai menyalurkan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut ke talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 7:59 PM