Syaherah Mustafa


Kota Bharu: "Hampir setiap malam kami suami isteri bergilir-gilir tidur kerana bimbang anak istimewa tersedak dan sesak nafas," luah Siti Nurnajiha Mahmud, 28.

Dia adalah ibu kepada Muhammad Aeril Martin Muhammad Muiz, berusia lapan bulan, yang menghidap penyakit genetik iaitu kelainan kromosom selain mempunyai masalah pernafasan kritikal yang memerlukan kahak anaknya disedut lebih 20 kali sehari.

Katanya, susulan penyakit berkenaan anak bongsu daripada tiga adik beradik itu perlu dipantau 24 jam, kerana Muhammad Aeril boleh mengalami sesak nafas jika mereka terleka untuk menyedut kahak melalui leher yang sudah ditebuk.

"Kesannya, tumbesaran anak saya terbantut yang mana beratnya kini hanyalah 3.7 kilogram (kg) seakan-akan berat bayi yang baru beberapa hari dilahirkan.

"Dua bulan yang lalu, Muhammad Aeril dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, kerana komplikasi penyakitnya yang menyebabkan dia tidak boleh bernafas.

"Alhamdulillah, kini keadaannya semakin pulih namun suami, Muhammad Muiz Md Roslan, 26, pula kehilangan kerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Kota Bharu," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan wakil Yayasan Raja Shamri (YRS) di rumahnya di Kampung Landak, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Wakil YRS, Tuan Zaimah Raja Omar, menziarahi keluarga berkenaan selepas menerima laporan mengenai nasib mereka selain turut menghulurkan sumbangan kewangan serta akan meneliti bentuk bantuan yang diperlukan pada masa akan datang.

Siti Nurnajiha berkata, selepas anaknya keluar daripada ICU, mereka lebih peka dan memastikan Muhammad Aeril diawasi selain bergantung sepenuhnya kepada mesin penyedut kahak yang dibeli sendiri berharga RM500.

Katanya, hidup mereka sekarang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana hilang punca pendapatan.

"Ada masanya saya sendiri mengambil upah mengurut, sementara suami di rumah menjaga anak kami.

"Jika suami mendapat permintaan untuk mengecat rumah atau memotong rumput, saya pula akan berada di rumah untuk menjaga Muhammad Aeril.

"Kami terpaksa bergilir-gilir mencari rezeki demi meneruskan kehidupan seharian termasuk membesarkan dua lagi anak berusia empat dan lapan tahun.

"Saya turut mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kad orang kurang upaya (OKU) milik anak sudah pun siap namun permohonan untuk menerima bantuan setiap bulan masih di dalam proses," katanya.

Menurutnya, dia memerlukan RM800 sebulan untuk perbelanjaan susu khas dan lampin pakai buang, selain perlu membeli 'tracking' yang ditampal pada leher Muhammad Aeril berharga RM360 dan perlu ditukar pada setiap bulan.

Mereka yang mahu meringankan beban keluarga terbabit, boleh menghubungi Muhammad Muiz di talian 017-9147298.

SITI Nurnajiha dan suami, Muhammad Muiz bersama anak istimewa mereka, Muhammad Aeril Martin yang disahkan menghidap penyakit genetik dan mempunyai masalah pernafasan kritikal. FOTO Syaherah Mustafa
SITI Nurnajiha dan suami, Muhammad Muiz bersama anak istimewa mereka, Muhammad Aeril Martin yang disahkan menghidap penyakit genetik dan mempunyai masalah pernafasan kritikal. FOTO Syaherah Mustafa

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 8:48 AM