Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang peniaga dikenakan denda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan penjualan dan pemilikan untuk jualan cecair rokok elektronik mengandungi nikotin pada 2018.

Tertuduh, Saiful Hairuddin Abdul Salam, 42, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Nur Faizah Abdul Sani.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bukan sebagai orang yang dilesenkan mengikut Akta Racun 1952 untuk menjual racun secara runcit kepada seorang lelaki menerusi seorang individu lain iaitu satu botol cecair rokok elektronik yang didapati mengandungi nikotin yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta yang sama.

Oleh itu, tertuduh didakwa melanggar Seksyen 16 (1) Akta Racun 1952, satu kesalahan mengikut Seksyen 16 (5) serta Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 32 (2) Akta sama iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bukan sebagai orang yang dilesenkan untuk menjual atau membekalkan racun telah memiliki untuk tujuan jualan iaitu 40 kotak serta 15 botol cecair rokok elektronik pelbagai perisa.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) Akta yang sama dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua -duanya sekali.

SAIFUL Hairuddin dikenakan denda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan penjualan dan pemilikan untuk jualan cecair rokok elektronik mengandungi Nikotin pada 2018. FOTO Faiz Anuar
SAIFUL Hairuddin dikenakan denda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan penjualan dan pemilikan untuk jualan cecair rokok elektronik mengandungi Nikotin pada 2018. FOTO Faiz Anuar

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di syarikat miliknya di Pusat Komersial Seksyen 7 pada Januari 2018 bagaimanapun syarikat berkenaan sudah tidak beroperasi lagi.

Pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Fauziah Mohamed Ismail meminta denda yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran serta mengambil kira kepentingan awam.

Majistret kemudian menetapkan tertuduh dikenakan denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan atau dua bulan penjara jika gagal membayar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 1:05 PM