Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebanyak 93 jenis persediaan cecair rokok elektronik yang dianggarkan bernilai RM18,000 dirampas Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dalam beberapa serbuan pada 10 September lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, kesemua barangan itu dirampas menerusi operasi serbuan yang dijalankan oleh cawangan Penguat Kuasa Farmasi Negeri Selangor.

"Hasil serbuan itu, kita merampas 93 jenis persediaan cecair rokok elektronik itu yang disyaki mengandungi nikotin mengikut Akta Racun 1952 yang dianggarkan bernilai RM18,000.

"Operasi serbuan diadakan susulan aduan orang ramai dan dijalankan di beberapa premis perniagaan menjual cecair rokok elektronik di sekitar Shah Alam, Petaling Jaya dan Kajang," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, kesemua persediaan cecair rokok elektronik yang dirampas akan disiasat dengan lebih lanjut mengikut Akta Racun 1952.

Jelasnya, jika sabit kesalahan, pihak-pihak yang terbabit boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 32(2) Akta Racun 1952 iaitu denda RM3,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memberi peringatan kepada kesemua pihak bahawa sebarang persediaan yang mengandungi nikotin adalah Racun Kumpulan C yang dikawal mengikut Akta Racun 1952.

"Oleh yang demikian, pembekalan dan penjualan persediaan yang mengandungi nikotin hanya dibenarkan oleh pengamal perubatan berdaftar dan ahli farmasi yang berlesen bagi tujuan rawatan perubatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 11:31 AM