Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah (barisan hadapan, kiri) menyiram satu daripada pokok yang ditanam pada program Penghijauan Malaysia di Tasik Raban Lenggong Sempena Kempen 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Perak, pada 10 April lalu. FOTO IHSAN TNB
Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah (barisan hadapan, kiri) menyiram satu daripada pokok yang ditanam pada program Penghijauan Malaysia di Tasik Raban Lenggong Sempena Kempen 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Perak, pada 10 April lalu. FOTO IHSAN TNB
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan komitmennya terhadap alam sekitar dengan menanam 130 pokok hutan di Tasik Raban, Lenggong, Perak.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, inisiatif itu dilakukan melalui kerjasama antara KeTSA, kerajaan negeri Perak dan Jabatan Perhutanan Perak bagi menyokong inisiatif kerajaan dalam memulihara alam sekitar.

"Pembabitan dan sumbangan dilakukan TNB sebagai satu daripada tanggungjawab korporatnya harus dicontohi pelbagai syarikat korporat lain," katanya ketika berucap dalam Program Penghijauan Malaysia di Tasik Raban, 10 April lalu.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din.

Dr Shamsul Anuar turut menyifatkan penyertaan TNB dalam kempen itu sebagai manifestasi keprihatinan TNB terhadap alam sekitar di samping menyambut seruan kerajaan untuk bersama menjayakan objektif kempen.

"Kempen 100 Juta Pokok ini untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan liputan pokok dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan kepelbagaian biologi negara kita," katanya.

Sebanyak 21 spesies pokok tempatan yang sinonim dengan nama tempat di Perak ditanam bagi menjayakan agenda nasional Penghijauan Malaysia dengan sasaran penanaman 100 juta pokok menjelang 2025.

TNB menyumbang RM50,000 bagi inisiatif penanaman pokok itu.

Selain di Lenggong, TNB juga terbabit secara aktif dalam pemuliharaan alam sekitar menerusi penanaman 18,800 pokok bakau di Manjung sejak 2013.

TNB kini sedang giat menjalankan inisiatif yang sama dengan tambahan 7,000 anak benih di Manjung dan 1,000 di Jimah Power Plant yang bakal siap ditanam menjelang 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 2:28 PM