Zuliaty Zulkiffli


Yan: "Ketika kejadian saya dan isteri, Fatimah Ahmad, 66, sedang menunaikan solat Tarawih di surau berhampiran dan ketika selesai rakaat kelapan, saya terdengar jeritan rumah terbakar.

"Ketika itu, saya cuba untuk pergi melihat keadaan rumah namun tak dibenarkan masuk ke kawasan itu kerana pihak bomba sedang memadam kebakaran ketika api sedang marak," kata Fadhil Hamid, 67.

Fadhil berkata, kejadian berlaku jam 9.30 malam dan kebanyakan penghuni di Pondok Fauzi itu keluar menunaikan solat Tarawih.

Katanya, akibat kejadian itu, Honda City miliknya musnah selain dua motosikal juga turut terbakar.

"Enam anak kami tinggal berasingan dan hanya saya serta isteri saja menetap di sini," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Agama Fauzi, Ahmad Sazali Ahmad Fauzi, 46, berkata, lima kediaman didiami enam orang termasuk pasangan suami isteri yang belajar agama di situ terbakar.

Katanya, pondok itu mempunyai 116 rumah yang didiami 160 lelaki dan wanita berusia 50 tahun ke atas di seluruh negara.

"Pondok ini diasaskan oleh arwah bapa saya, Allahyarham Ahmad Fauzi Mustafa yang kemudian diwarisi oleh saya sehingga hari ini untuk mengajar al-Quran kepada mereka yang berminat.

"Dua daripada pondok yang terbakar itu dibina atas tanah wakaf manakala tiga rumah lagi milik persendirian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Ahmad Sazali berkata, ketika kejadian berlaku, dia baru memberi salam selepas selesai rakaat kelapan solat Tarawih dan terus bergegas ke tempat kejadian.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini," katanya.

KEADAAN sebahagian rumah dua tingkat di pusat pengajian Pondok Fauzi berhampiran Kampung Sungai Udang yang musnah dalam kebakaran malam tadi. FOTO Luqman Hakim Zubir
KEADAAN sebahagian rumah dua tingkat di pusat pengajian Pondok Fauzi berhampiran Kampung Sungai Udang yang musnah dalam kebakaran malam tadi. FOTO Luqman Hakim Zubir

Ahmad Sazali berkata, dia berterima kasih kepada pihak bomba kerana sampai dengan cepat untuk memadam kebakaran itu.

Katanya, ini adalah rahmat Allah kerana semua penghuni selamat.

"Justeru itu, kalau ada yang berhajat nak bantu, kami ada buka akaun Tabung Kebajikan dan Surau Pondok Fauzi dan orang ramai boleh menyalurkan sumbangan di akaun Bank Islam 02084010036612.

"Kebanyakan yang belajar di sini tidak membawa anak bersama dan hanya mereka menginap di sini termasuk kategori ibu tunggal dan pasangan suami isteri," katanya.

Berita berkaitan

Ujian awal Ramadan [METROTV]

5 rumah hangus

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 3:15 PM