BOMBA membantu memotong cincin pada jari telunjuk tangan kiri lelaki berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA membantu memotong cincin pada jari telunjuk tangan kiri lelaki berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Pasukan bomba dipanggil untuk membantu khidmat khas memotong cincin pada jari telunjuk tangan kiri seorang lelaki berusia 29 tahun di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.32 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya yang diketuai Ramli Saad tiba di lokasi jam 10.35 malam.

"Operasi disertai sembilan anggota yang datang bersama sebuah jentera.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati cincin masih melekat pada jari telunjuk di tangan kiri lelaki berkenaan dan gagal dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, anggotanya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menanggalkan cincin berkenaan menggunakan peralatan khas.

Beliau berkata, operasi tamat pada 10.56 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 8:26 AM