GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dalang utama aktiviti perjudian dalam talian, Alvin Goh atau Goh Leong Yeong dan adiknya, Goh Yeong Hui akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Kedua-dua individu itu didakwa menerima wang RM2.14 juta hasil daripada aktiviti haram pada September 2019 sehingga November 2019.

Pertuduhan akan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Pertuduhan ini juga adalah berkaitan tangkapan ratusan warga China di Cyberjaya.

Untuk rekod, siasatan kes berkenaan dilakukan Unit Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan menyita RM482,508.19 milik syarikat Alvin Goh.

Syarikat Alvin Goh juga didapati membenarkan imigran larangan berada di premis miliknya dan menjalankan aktiviti berkaitan scam online.

Kedua-dua adik beradik ini juga akan dituduh di Mahkamah Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) Semenyih pada hari yang sama, mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

Pada 30 November tahun lalu, Alvin bersama Addy Kanna dan dua lagi anggota polis ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama dua tahun.

Alvin atau nama sebenarnya Goh Leong Yeong, ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor bersama seorang lagi anggota polis.

Terdahulu, Alvin dan Addy ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menjalankan aktiviti penipuan Macau Scam dan judi dalam talian pada 2 dan 3 Oktober 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 3:28 PM