Alvin Goh, suspek utama kes pengubahan wang haram. FOTO Ihsan PDRM
Alvin Goh, suspek utama kes pengubahan wang haram. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Goh Leong Yeong atau Alvin Goh, 32, yang juga sebagai suspek utama kes pengubahan wang haram dan judi dalam talian yang ditahan reman tiga hari sebelum ini ditahan semula mengikut mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek ditahan mengikut POCA selepas tempoh remannya membabitkan Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 tamat hari ini.

"Permohonan reman POCA akan dimohon di Mahkamah Kuala Lumpur esok bagi membantu siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Alvin yang bersembunyi di sebuah pusat peranginan di Pahang dengan bantuan teman wanitanya yang juga warga China ditahan polis selepas 15 hari melarikan diri sebaik dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 11 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan suspek dikatakan berjaya meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan SPRM dengan sebuah kenderaan yang menunggunya di luar pagar.

Difahamkan, ketika kejadian, lelaki itu bersama tiga lagi suspek terdiri daripada dalang utama serta dua anggota polis dalam proses diserahkan kepada polis untuk siasatan berhubung kegiatan judi dalam talian dan penipuan Macau Scam.

Sebelum ini anggota polis berpangkat koperal serta lelaki bergelar Datuk direman selama 21 hari bermula semalam sehingga 3 November depan bagi membantu siasatan kes perjudian atas talian di Cheras.

Baru-baru ini, SPRM membongkar kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal memulakan perniagaan.

Ia susulan tangkapan lima individu termasuk Datuk dan lelaki bergelar Datuk Seri palsu pada 3 Oktober lalu oleh SPRM selepas seorang selebriti terkenal dipanggil untuk dirakam percakapan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki mendedahkan, pihaknya menahan 20 individu termasuk lapan pegawai polis dan seorang warga China, selain akan membuat beberapa siri tangkapan lain.

SPRM juga membekukan kira-kira RM101 juta daripada 736 akaun bank dan menyita wang tunai RM5 juta serta merampas 23 kenderaan mewah pelbagai jenama serta motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli hasil daripada aktiviti judi dalam talian tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 12:59 PM